Tuesday, 13 November 2012

NYANYIAN KLASIK MENDODOIKAN ANAK


NYANYIAN MENDODOI ANAK

(Susunan Ayahanda Badaruddin Hj Amran)


Allah menjadikan sekalian alam,
Langit dan bumi laut yang dalam,
Mengutuskan Rasul A’laihis Salam,
Untuk menyebarkan ugama Islam.

Tugas Rasul amatlah mulia,
Menyeru sekalian umat manusia,
Menyembah Allah yang Maha Kaya,
Dunia akhirat hidup bahagia.

Allah perintahkan dalam Al-Quran,
Ibu bapamu janagan dilawan,
Mereka berdua telah banyak berkorban,
Mengharapkan engkau menikmati kebahagiaan.

Mengandungkan engkau sembilan  bulan,
Nasi dan air tidak tertelan,
Melahirkan engkau penuh kesakitan,
Hampir bercerai nyawa di badan.

Setelah bayi diazan dan diiqamat,
Didua’kan semoga sihat wal-afiat,
Tangisan engkau mengembalikan semangat,
Badan yang lemah beransur kuat.

Bila engkau selalu meragam,
Ibu bapamu tak tidur malam,
Setelah engkau kembali tenteram,
Baharulah tenang hati didalam.

Ada masanya engkau tak sihat,
Sibuklah ibu bapamu untuk merawat,
Doktor ditemui mendapatkan nasihat,
Bertambahlah belanja membeli ubat.

Balaslah jasa ibu dan ayah,
Membesarkan engkau bersusah payah,
Beralih kekiri kanan pun basah,
Badan berlumur kencing dan muntah.

Sejak kecil engkau diajar,
Membaca Al-Quran supaya lancar,
Sampai masanya engkau pun besar,
Jadilah engkau anak yang pintar.

Perintah Allah mesti ditaati,
Dirikan solat setiap hari,
Hidup didunia tidak bererti,
Tanpa iman dan amal bakti.

Solat didirikan biar bermutu,
Tunaikan dia diawal waktu,
Sekiranya engkau kekalkan begitu,
Gembiralah hati ayah dan ibu.

Anak yang membesar didalam taat,
Iman di dada subur dan sihat,
Terhindar daripada berbuat maksiat,
Berbahagialah nanti dialam akhirat.

Sejak kecil balajar disekolah,
Dari tadika kesekolah rendah,
Kemudian pindah ke sekolah menengah,
Masuk universiti dapat ijazah.

Hiduplah engkau merendah diri,
Mereka yang tua engkau hormati,
Golongan yang muda engkau sayangi,
Begitulah ajaran Islam yang sejati.

Anak yang soleh permata bermutu,
Menjadi harapan ayah dan ibu,
Dalam dunia penyejuk kalbu,
Ketika dikubur mereka membantu.

Beruntung sungguh ibu dan ayah,
Anaknya bertakwa kepada Allah,
Mereka berd’ua beristighfar bersedekah,
Ibu bapa dikubur pahala bertambah.

Pastikan anakanda berakhlak mulia,
Sepanjang hidup dialam dunia,
Berlaku sombong mempamerkan kaya,
Menuntut ilmu belum berjaya.

Jauhkan diri daripada mengumpat,
Perbuatan dosa yang amat jahat,
Walaupun kita rajin beribadat,
Tapi pahalanya orang yang dapat.

Tamat belajar engkau pun bekerja,
Sampai masanya berumahtangga,
Kiranya perkahwinan direstui keluarga,
Engkau berbahagia mereka berbangga.

Suami isteri tugasnya berat,
Bersama digesa berbuat  taat,
Bangun tengah malam beramal ibadat,
Semoga berbahagia dunia akhirat.

Masa nak kahwin tak terlintas di fikiran,
Suami isteri kampung berjauhan,
Seorang diutara seorang di selatan,
Banyaklah masalah dimasa hadapan.

Nak balik hari raya menjadi masalah,
Suami dan isteri bertindak salah,
Masing-masing berkeras tak mahu mengalah,
Sikap sedemikian membawa padah.

 Anggaplah mertua ibu bapa sendiri,
Mesti dimulia serta dihormati,
Berbahagialah hidup suami isteri,
Keluarga masing-masing sama-sama dikongsi.

Lebih kurang dua tahun menerima menantu,
Tibalah masa yang ditunggu-tunggu,
Ibu bapa dapat menimang cucu,
Cahaya kegembiraan memancar dikalbu.

Nikmati kehidupan yang diredhai Allah,
Jangan kerana nak hidup mewah,
Sanggup menipu dan menerima rasuah,
Akhirnya akan membawa padah.

Pelajaran tinggi tidak berfaedah,
Melakukan rasuah masyarakat susah,
Bila tuduhan dibawa di ke mahkamah,
Menutup muka nak menjaga maruah.

Ingatlah pesanan ulama’ silam,
Menyara keluarga dengan sumber haram,
Menyebabkan hati gelap dan kelam,
Jauhlah rahmat Pencipta Alam. 

Monday, 12 November 2012

MAJLIS ILMU DAN TAZKIRAH


MAJLIS ILMU DAN TAZKIRAH

Sebelum Kerajaan Negeri Selangor bertukar tangan setalah lebih 50 tahun, masjid lesu hampir tidak berfungsi. Masjid digunakan untuk tempat solat dan baca yasin dimalam jumaat. Tidak lebih dari itu. Masjid tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya dia berfungsi.

Bilamana Pakatan Rakyat mengambilalih tampuk pemerintahan Selangor, Masjid kembali digunakan dan diimarahkan. Pastinya diperingkat awal berlaku kekecohan dalam urustadbir masjid terutama dalam proses pemilihan AJK. Isu utama yang diwar-warkan adalah masjid tidak boleh digunakan untuk berpolitik. Maknanya, apa sahaja yang berkait dengan politik diharamkan. Dengan erti kata yang lain, ajaran islam dipisahkan dari politik.

Kini masjid dihidupkan kembali. Boleh dikatakan setiap lepas solat Maghrib pasti ada kuliah Maghrib. Setiap lepas solat Subuh pada hari-hari cuti, pasti ada kuliah subuh. Kuliah-kuliah ugama ini sering diungkapkan sebagai "Majlis Ilmu". Persoalannya, adakah yang dikatakan "majlis ilmu" ini benar-benar majlis ilmu?

Mengapa pula teman seolah-olah mempertikaikan "majlis ilmu" ini. Sebenarnya, teman tidak mempertikaikan "majlis ilmu" yang diadakan itu. Tinggal lagi, ramai yang tak faham apakah yang dimaksudkan "majlis ilmu" dalam erti kata yang sebenarnya. Dengan kata lain, tidak semua "majlis ilmu" yang diadakan itu majlis ilmu. Kebanyakan "majlis ilmu" yang diadakan itu adalah majlis tazkirah, bukan majlis ilmu.

Apa bezanya antara majlis ilmu dengan tazkirah?
Adakah Kutbah Jummat itu majlis ilmu?
Adakah kuliah subuh, kuliah maghrib dan seumpamanya itu kesemuanya majlis ilmu?

Sebelum kita merumuskan majlis ilmu, kita kena tanya dulu, ilmu itu apa? Ilmu yang bermenufaat itu apa? Apakah ilmu yang mesti, wajib kita ketahui sebagai seorang Islam? Sekadar mana pula ilmu fardhu ain itu perlu kita ketahui?

Teman sekadar melontar soalan-soalan ini untuk direnungkan untuk muhasabah diri. Kita sewajibnya bersyukur kerana Allah yang masih memberi ruang masa kepada kita untuk belajar dan beramal. Jangan sia-siakan ruang masa yang direzekikan oleh Allah kerana ia akan ditanya diakhirat nanti.

Orang yang menyebokkan dirinya dengan hal dunia adalah orang yang tertipu oleh dunia. Bila dunia binasa, kemana kesudahannya? Apakah perkara yang dipertengkarkannya didunia dalam hal politik dan perniagaan yang diusahakannya, memberi menufaat kepadanya diakhirat nanti?

ADAB-ADAB MENJAYAKAN MAJLIS ILMU


ADAB MENJAYAKAN MAJLIS PENGAJIAN

(INTISARI KITAB “ADAB AL-ISLAMIAH”)


Disusun oleh:

Tuan Guru Hj, Badaruddin Bin Hj Imran
Imam Masjid Jamie’ Daerah, Tapah, Perak


Dalam Islam, adab sopan adalah merupakan satu perkara yang amat penting dijaga dalam setiap bidang kehidupan, kerana dengan berbuat demikian, barulah cahaya keindahan islam, iaitu ugama tunggal yang diredoi Allah dimuka bumi ini, akan benar-benar menyerlah hingga dapat menarik perhatian setiap insan yang berakal untuk mendekati dan menghayatinya.

Risalah ini akan memaparkan garis panduan mengenai adab tertib yang perlu dijaga dalam menjayakan sesuatu majlis pengajian supaya ia benar-benar meninggalkan kesan yang positif kearah mempertingkatkan mutu pegangan ugama masing-masing.

Adab tertib yang tertulis dalam risalah ini dipetik daripada buku yang berjodol “ADAB DAN SOPAN SANTUN DALAM ISLAM” yang diterjemahkan daripada buku bahasa Arab yang bertajuk “ADAB AL-ISLAMIAH” karya Ustaz Muhammad Khair Fatimah.

Dalam kata-kata aluan pendahuluannya, penulis menjelaskan bahawa isi buku berkenaan adalah dipetik dari kitab-kitab lama dan baharu yang ditulis oleh para ulama’ yang terkenal berdasarkan Al-Quran dan hadith serta amalan para salafusoleh dizaman silam.

Risalah ini akan menyentuh persoalan adab menjayakan majlis pengajian dari empat (4) sudut iaitu:

1. Adab guru sebagai penyampai ilmu,
2. Adab murid kepada guru,
3. Adab menuntut ilmu,
4. Adab didalam majlis ilmu.

Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk, taufik dan hidayah kepada kita.

ADAB GURU SEBAGAI PENYAMPAI ILMU

  1. Hendaklah menjadi orang yang mencintai ilmu dengan berusaha mengisi masanya menambah dan mendalami serta memahami ilmu agama;
  2. Hendaklah mengamalkan ilmunya supaya selaras antara percakapan dengan perbuatan atau ilmunya, kata Sufyan bin Aiyinah, “Tidaklah dinamakan orang yang berilmu mereka yang sekadar tahu membezakan yang baik dengan yang buruk, tetapi orang yang benar-benar berilmu ialah mereka yang tahu sesuatu perkara itu baik lalu diamalkannya dan tahu akan sesuatu perkara itu tidak baik lalu dijauhinya”;
  3. Sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu ketaqwaan terhadap Allah. Semakin banyak ilmu maka biarlah semakin bertambah takutnya kepada Allah. Kata ulama’, “Orang yang merasa aman daripada azab Allah itu adalah orang yang jahil, dan orang yang sentiasa merasa bimbang dan takut akan azab Allah itu adalah orang yang ‘arif”;
  4. Hendaklah menjauhkan diri daripada pengaruh keduniaan seperti berbangga dengan kemegahan, sibok dengan permainan, leka dengan hiburan, lalai dengan kemewahan dan kesenangan;
  5.  Bersikap tawadu’ (merendah diri) terhadap semua hamba Allah;
  6. Berusaha membebaskan murid-murid yang diajarnya dari kejahilan dengan mengajar dan mendidik mereka secara lemah lembut dan berhikmah. Bersabar dan bersikap kasih sayang terhadap mereka ibarat doktor yang berpengalaman merawat pesakit, Kata huqamak, “Hendaklah engkau bersikap lemah lembut terhadap orang yang engkau ajar juga terhadap mereka yang mengajar engkau”;
  7. Hendaklah mengajar dengan ikhlas, tujuannya semata-mata untuk menuntut keridoan Allah. Tegasnya janganlah mengajar agama kerana mengharapkan upah atau pujian atau sanjungan;
  8. Hendaklah mempelajari dan memahami ilmu yang hendak diajar itu secara mendalam;
  9. Hendaklah bersikap tenang, lapang dada, penyantun serta menghiasi diri dengan akhlak terpuji. Menjauhi sifat-sifat tercela seperti pemarah, gopoh dan lain-lainya;
  10. Bersabar menghadapi kerenah orang jahil, orang dengki, orang khianat;;
  11. Bersikap murah hati menyampai dan menghuraikan ilmu kepada murid-muridnya. Jangan menyembunyikan ilmu kerana takut dirinya diatasi orang lain. Ilmu yang diajar itu hendaklah mengikut kelayakan dan kemampuan murid-murid yang diajar;
  12. Bersedia menerima dan menegakkan kebenaran dan mempertahankannya;
  13. Menyampaikan ilmu secara berperingkat kepada mereka yang mahu memenufaatkannya;
  14. Jangan berfatwa tanpa berdasarkan ilmu dan jangan memperkatakan ilmu dalam bidang yang tidak benar-benar diketahui;
  15. Jangan mengharapkan murid-murid akan membalas jasanya. Serahkan kepada Allah untuk mengurniakan apa juga ganjaran yang diredoinya;
  16. Jangan menegor orang yang melakukan kesilapan atau kesalahan dengan cara mencela dan memalukannya. Elakkan daripada mendedahkan ‘aib dan mencemarkan maruah orang;

ADAB MURID TERHADAP GURU

  1. Merendah diri terhadap guru walaupun dia lebih muda daripada kita;
  2. Mendahului memberi salam bila bertemu dengannya;
  3. Tidak berbicara kosong dihadapannya;
  4. Tidak meninggikan suara ketika bercakap dengannya;Tidak bersembang dengan orang lain dihadapannya;
  5. Membela atau mempertahankan nya jika ia dicela orang;
  6. Tidak menyertai majlis ilmu orang yang dibencinya iaitu benci kerana Allah;
  7. Jangan memusuhi orang yang dikasihinya;
  8. Hendaklah kita berdiri jika dia berdiri;
  9. Jangan ketawa ketika bercakap dengannya;
  10. Duduk dihadapannya hendaklah sentiasa tenang dan beradab sopan;
  11. Jangan bertanya kepadanya ketika sedang berjalan;
  12. Jangan buruk sangka terhadapnya;
  13. Sentiasa memulia, menghormati dan mencintainya serta menjaga maruah keluarganya;Meminta pandangan dan pendapatnya dalam sesuatu perkara yang hendak dilakukan;
  14. Selalu mendoakan nya dengan perkara-perkara kebaikan;
  15. Hendaklah kemajlisnya sebelum dia sampai;
  16. Jangan menyanggah pendapatnya;
  17. Jangan membandingkan pendapatnya dengan pendapat orang lain;Meminta izin ketika pertama kali hendak belajar kepadanya;
  18. Menziarahi pusaranya setelah dia meninggal dunia

ADAB MENUNTUT ILMU

  1. Mendahulukan menuntut ilmu yang menghasilkan buah iaitu ilmu yang bermenufaat yang boleh menguatkan iman dan mengukuhkan ugama masing-masing. Menurut para ulama’, ilmu yang bermenufaat itu ialah;
    1. Ilmu yang membawa kita kenalkan Allah dan meningkatkan ketakwaan kepadanya,
    2. Ilmu yang membawa kita benci dunia dan gemar akhirat,
    3. Ilmu yang membawa kita kenalkan ’aib diri sendiri,
    4. Ilmu yang membawa kita kenalkan tipu daya syaitan dan hawa nafsu,
    5. Ilmu yang boleh membantu kita melakukan amal ibadah dengan sempurna.
  2. Berusaha dengan jujur untuk mendapatkannya iaitu dengan mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit serta tabah menghadapi segala halangannya.
  3. Ikhlas hati dalam menuntutnya iaitu tujuannya semata-mata untuk mengharapkan keredoan Allah dan rasulnya,
  4. Membersihkan hati dan jiwa daripada sifat-sifat terela seperti hasad dengki, sombong, riya’, ujub dan sebagainya. Kata huqama’, “Ilmu yang jatuh kedalam hati yang kotor akan membawa keburukan yang akan menjadi bala kepada orang berkenaan”.
  5. Menjauhkan diri daripada terlibat dalam perdebatan dan pertengkaran kerana perbuatan itu amat merugikan iaitu membuang masa, mengeraskan hati, menimbulkan perasaan sombong, hasad, dengki, berdendam dan lain-lainnya. Pihak yang menang berasa bangga menakala yang kalah akan kecewa.
  6. Memuliakan ilmu dengan menggunakannya kearah meningkatkan perasaan taqwa kepada Allah. Jangan sekali-kalai menggunakannya untuk tujuan keduniaan seperti mengumpul harta kekayaan, untuk mencari kemegahan atau untuk mendapatkan pujian, sanjungan dan lain-lainnya.
  7. Menuntut ilmu itu daripada ulama’ yang ahli yakni benar-benar mahir dalam bidang berkenaan serta benar-benar bertaqwa kepada Allah. Dalam sebuah hadith diriwayatkan Al-hakim, Rasulullah saw bersabda maksudnya,” Ilmu itu adalah agama kamu maka teleklah daripada siapa engkau mengambil agama kamu”
  8. Menuntutnya dengan penuh kesabaran dalam mengulangkaji dan menghafalnya.
  9. Rajin bertanya tentang masalah-masalah yang benar-benar tak faham. Tujuan bertanya untuk mengetahui secara mendalam. Kata Saidina Umar al-Khatab, “Jadikan dirimu orang yang mengerti sebelum kamu menjadi orang yang bijak”.
  10. Gemarkan segala ilmu yang disampaikan guru dengan berusaha bersungguh-sungguh mencatit dan menghafalnya. Kata imam Syafi’e, “Ilmu itu adalah ibarat binatang buruan dan tali pengikatnya adalah dengan mencatit, maka ikat binatang buruan mu dengan tali yang benar-benar kukuh”.
  11. Lengkapkan diri dengan memenuhi segala syarat-syarat menuntut yang sempurna iaitu berbekalkan taqwa, bersenjatakan wudu’, berlampukan zikir, kuat berpegang kepada syariat, kuat cita-cita serta menjauhkan diri daripada pengaruh hawa nafsu yang jahat.


ADAB DIDALAM MAJLIS ILMU


  1. Hendaklah duduk rapat kehadapan supaya hampir dengan guru kerana disana mencurah-curah nya turun rahmat Allah. Kata Ulama’,”Duduk dihadapan yakni dekat dengan guru itu mencari ilmu manakala mendengar dari jauh itu mencuri ilmu”.
  2. Duduk dengan tawadu’ serta sopan. Berlunjur dimajlis ilmu perbuatan yang amat tidak sopan.
  3. Elakkan duduk daripada berpindah-pindah tempat.
  4. Datang kemajlis ilmu lebih awal yakni sebelum guru sampai
  5. Mengikuti majlis pengajian yang disampaikan oleh guru dengan penuh minat
  6. Berusaha bersungguh-sungguh memahami akan ilmu yang disampaikan dengan cara menatap kitab, mencatit dan menghafalnya.
  7. Seboleh-bolehnya duduk mengadap guru sambil mengadap kiblat dan berwuduk.
  8. Elakkan daripada bercakap-cakap atau berbisek-bisek dengan kawan atau bergelak ketawa
  9. Pastikan hadir kemajlis ilmu dengan berpakaian kemas dan menjaga kebersihan
  10. Sentiasa menjaga hubungan mesra dengan semua rakan sepengajian
  11. Jangan keluar meninggalkan majlis pengajian sebelum diizinkan oleh guru




ILMU YANG WAJIB DITUNTUT DAN KADARNYA


ILMU YANG WAJIB DITUNTUT

Ilmu-ilmu yang wajib diketahui oleh setiap diri (Fardhu 'Ain) 
yang mengaku dia seorang islam.
(Petikan dari kitab Darussamin oleh Syed Abdul Qadir al-Idrus ra)


Anda hendaklah mengetahui bahwa segala ilmu fardu ‘ain yang dituntut itu ada tiga;

  1. Ilmu Tauhid iaitu yang dinamakan ilmu usuluddin atau ilmu kalam atau ilmu wahyu;
  2. Ilmu Syara’ iaitu yang dinamakan ilmu Feqah;
  3. Ilmu batin iaitu yang dinamakan ilmu Tasauf.

KADAR ILMU

Kadar mana, sedalam mana ilmu-ilmu fardhu ‘ain itu wajib diketahui
(Petikan dari kitab Hidayatus salikin oleh Syed Abdus Samad al-Falimbani)

Kadar fardhu ‘ain pada ilmu Tauhid iaitu mengenal sekadar dengannya dapat mengetahui zat Allah taala, sifatnya yang salbiah (penafian) dan sifatnya yang subutiah (penyabitan) dengan sekira-kira dapat mengesahkan imannya. Yakni mengenal apa yang wajib bagi Allah Taala, yang mustahil baginya dan yang harus baginya. Demikian juga mengenali seumpama itu pada sekelian rasul, selawat dan salam bagi mereka dan beriman dengan segala yang didatangkan oleh mereka. Manakala mengenal lebih dari itu adalah fardhu kifayah.

Kadar fardhu ‘ain pada ilmu syara’ ialah mengenal sekadar dengannya dapat mengetahui segala fardhu bersuci (Thoharah), fardhu sembahyang, fardhu puasa serta yang membatalkannya, fardhu haji, fardhu zakat serta segala yang membatalkannya dan yang lebih dari itu adalah fardhu kifayah jua.

Kadar fardhu ‘ain pada ilmu batin (ilmu Tasauf) ialah mengenal yang mana dengannya, segala amalan yang zahir itu menjadi terselamat daripada kerosakan (fasad) dan terselamat daripada yang membatalkan pahalanya, seperti sesaorang yang bersembahyang dalam keadaan riak, ‘ujub, sum’ah, atau sebagainya maka semua itu akan membatalkan pahal sembahyangnya. Dan bagi mendapatkan ilmu Tasauf sekadarnya ini, yakni sekadar fardhu ‘ain, memadai dengan mengamalkan apa yang ada dalam kitab Minhajul ‘Abidin kepunyaan Imam Al-Ghazali ra dan mengenali huraian ilmu batin yang lebih dari itu bukanlah fardhu ‘ain.

PERINGATAN KEPADA PENUNTUT


Hadith diriwayatkan oleh Jabir:

Janganlah kamu berguru kepada ‘alim sebarang ‘alim, Bergurulah hanya kepada mereka yang boleh membawa kamu dari lima kepada lima, iaitu:

  1. Dari ragu kepada yakin,
  2. Dari riya’ kepada ikhlas,
  3. Dari cinta dunia kepada zuhud,
  4. Dari takbur kepada tawadu’
  5. Dan dari bermusuh-musuhan kepada nasihat menasihati dan berkasih sayang


Sunday, 11 November 2012

DINUL-ISLAM

PERINGATAN KEPADA PENCERAMAH, PENDAKWAH DAN PEMBIMBING KEJALAN ALLAH


"Apabila dunia dan dirham (wang ringgit) besar dalam pandangan umatku, maka malaplah cahaya ugama dari hati dan bila ditinggalkan amar makruf nahi mungkar, maka lunturlah berkat ilahi" - Hadith

“Akan tiba keatas umatku satu zaman dimana perjuangan mereka pada ketika itu hanyalah untuk kepentingan peribadi. Harta kekayaan menjadi ukuran nilai kemuliaan seaorang, wanita-wanita menjadi tumpuan utama, agama mereka wang ringgit. Mereka itu adalah sejahat-jahat manusia dan tidak berharga langsung disisi Allah”
-hadith Bukhari dan Muslim.

“Para ulama’ itu adalah doktor ugama, manakala dinar dan dirham (wang ringgit) pula adalah penyakit ugama. Maka bila para ulama’ (Doktor Ugama) telah dihinggapi penyakit cintakan wang ringgit, maka jangan diharap mereka mampu mengubat orang lain”.
-Suffian al-Sauri.

"Apabila engkau lihat sesaorang berilmu telah mencintai dunia (harta benda), curigailah ia tentang ugama kerana pencinta akan bertambah terhadap kecintaannya”
-Saidina Umar al-Khatab.

“Ada orang yang bergema puji-pujian orang terhadap dirinya, dari timur hingga kebarat. Malangnya disisi Allah tidak ada harga seberat sayap lalat pun”
-ihya’ ulumuddin.

"Kasihan sungguh aku akan tiga golongan manusia ini iaitu orang mulia yang menjadi hina, orang kaya yang jatuh miskin, dan orang berilmu yang dipermainkan oleh dunia”
-Fadhil ibnu ‘Iyad.