Tuesday, 13 November 2012

NYANYIAN KLASIK MENDODOIKAN ANAK


NYANYIAN MENDODOI ANAK

(Susunan Ayahanda Badaruddin Hj Amran)


Allah menjadikan sekalian alam,
Langit dan bumi laut yang dalam,
Mengutuskan Rasul A’laihis Salam,
Untuk menyebarkan ugama Islam.

Tugas Rasul amatlah mulia,
Menyeru sekalian umat manusia,
Menyembah Allah yang Maha Kaya,
Dunia akhirat hidup bahagia.

Allah perintahkan dalam Al-Quran,
Ibu bapamu janagan dilawan,
Mereka berdua telah banyak berkorban,
Mengharapkan engkau menikmati kebahagiaan.

Mengandungkan engkau sembilan  bulan,
Nasi dan air tidak tertelan,
Melahirkan engkau penuh kesakitan,
Hampir bercerai nyawa di badan.

Setelah bayi diazan dan diiqamat,
Didua’kan semoga sihat wal-afiat,
Tangisan engkau mengembalikan semangat,
Badan yang lemah beransur kuat.

Bila engkau selalu meragam,
Ibu bapamu tak tidur malam,
Setelah engkau kembali tenteram,
Baharulah tenang hati didalam.

Ada masanya engkau tak sihat,
Sibuklah ibu bapamu untuk merawat,
Doktor ditemui mendapatkan nasihat,
Bertambahlah belanja membeli ubat.

Balaslah jasa ibu dan ayah,
Membesarkan engkau bersusah payah,
Beralih kekiri kanan pun basah,
Badan berlumur kencing dan muntah.

Sejak kecil engkau diajar,
Membaca Al-Quran supaya lancar,
Sampai masanya engkau pun besar,
Jadilah engkau anak yang pintar.

Perintah Allah mesti ditaati,
Dirikan solat setiap hari,
Hidup didunia tidak bererti,
Tanpa iman dan amal bakti.

Solat didirikan biar bermutu,
Tunaikan dia diawal waktu,
Sekiranya engkau kekalkan begitu,
Gembiralah hati ayah dan ibu.

Anak yang membesar didalam taat,
Iman di dada subur dan sihat,
Terhindar daripada berbuat maksiat,
Berbahagialah nanti dialam akhirat.

Sejak kecil balajar disekolah,
Dari tadika kesekolah rendah,
Kemudian pindah ke sekolah menengah,
Masuk universiti dapat ijazah.

Hiduplah engkau merendah diri,
Mereka yang tua engkau hormati,
Golongan yang muda engkau sayangi,
Begitulah ajaran Islam yang sejati.

Anak yang soleh permata bermutu,
Menjadi harapan ayah dan ibu,
Dalam dunia penyejuk kalbu,
Ketika dikubur mereka membantu.

Beruntung sungguh ibu dan ayah,
Anaknya bertakwa kepada Allah,
Mereka berd’ua beristighfar bersedekah,
Ibu bapa dikubur pahala bertambah.

Pastikan anakanda berakhlak mulia,
Sepanjang hidup dialam dunia,
Berlaku sombong mempamerkan kaya,
Menuntut ilmu belum berjaya.

Jauhkan diri daripada mengumpat,
Perbuatan dosa yang amat jahat,
Walaupun kita rajin beribadat,
Tapi pahalanya orang yang dapat.

Tamat belajar engkau pun bekerja,
Sampai masanya berumahtangga,
Kiranya perkahwinan direstui keluarga,
Engkau berbahagia mereka berbangga.

Suami isteri tugasnya berat,
Bersama digesa berbuat  taat,
Bangun tengah malam beramal ibadat,
Semoga berbahagia dunia akhirat.

Masa nak kahwin tak terlintas di fikiran,
Suami isteri kampung berjauhan,
Seorang diutara seorang di selatan,
Banyaklah masalah dimasa hadapan.

Nak balik hari raya menjadi masalah,
Suami dan isteri bertindak salah,
Masing-masing berkeras tak mahu mengalah,
Sikap sedemikian membawa padah.

 Anggaplah mertua ibu bapa sendiri,
Mesti dimulia serta dihormati,
Berbahagialah hidup suami isteri,
Keluarga masing-masing sama-sama dikongsi.

Lebih kurang dua tahun menerima menantu,
Tibalah masa yang ditunggu-tunggu,
Ibu bapa dapat menimang cucu,
Cahaya kegembiraan memancar dikalbu.

Nikmati kehidupan yang diredhai Allah,
Jangan kerana nak hidup mewah,
Sanggup menipu dan menerima rasuah,
Akhirnya akan membawa padah.

Pelajaran tinggi tidak berfaedah,
Melakukan rasuah masyarakat susah,
Bila tuduhan dibawa di ke mahkamah,
Menutup muka nak menjaga maruah.

Ingatlah pesanan ulama’ silam,
Menyara keluarga dengan sumber haram,
Menyebabkan hati gelap dan kelam,
Jauhlah rahmat Pencipta Alam. 

No comments:

Post a Comment